Friday, July 01, 2011

Apakah Hiperhidrosis

MASALAH iaitu pengeluaran peluh yang berlebihan dikenali sebagai hiperhidrosis dan membabitkan kedua-dua jantina lelaki dan perempuan secara sama rata.

Ia kerap melanda pada peringkat umur 25 tahun hingga 64 tahun. Hiperhidrosis ini boleh membabitkan keseluruhan badan atau kawasan tertentu pada badan pada seseorang seperti tangan, kaki, celah ketiak dan kawasan kelangkang.

Jenis-jenis
Hiperhidrosis primer di mana ia sering bermula ketika seseorang remaja dan ia boleh berlaku kepada beberapa anggota keluarga kerana ia ada kaitan genetik

Hiperhidrosis sekunder berpunca dari masalah seperti penyakit pituitary, kencing manis, gout, tumor, menopause dan kesan sampingan beberapa jenis ubat ubatan.

Punca sebenar hiperhidrosis masih belum diketahui tetapi banyak kajian menunjukkan ia berpunca dari peningkatan aktiviti saraf simpatetik, perasaan cemas dan faktor makanan.

Rawatan perubatan
Dengan menggunakan ubat sapuan yang mengandungi aluminium chloride.

Suntikan botulinum toxin jenis A (BOTOX) juga digunakan untuk merawat masalah ini.

Beberapa jenis ubat dari kumpulan anticolinergic seperti oxybutynin ( Ditropan)

Rawatan Pembedahan.
Ada beberapa jenis teknik pembedahan yang digunakan untuk merawat masalah ini. Antaranya membabitkan pembuangan dan pemusnahan kelenjar peluh yang terbabit dengan cara liposction dan ada juga menggunakan laser. Namun teknik ini sesuai untuk masalah hiperhidrosis yang membabitkan bahagian ketiak saja.

Satu lagi teknik pembedahan yang sering dilakukan ialah teknik endoscopic thorasic syphatectomy (ETS). Teknik yang menggunakan cara laparoskopik atau pembedahan lubang kekunci ini membabitkan pemotongan/mengetik (clamping) saraf simpatetik pada bahagian dada.

Kesan-kesannya
Penyakit hiperhidrosis boleh membawa kesan fizikal kepada kulit seperti infeksi dan jangkitan kulat dan kulit melecet. 

Selain dari itu, ia boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang akibat dari perasaan malu dan tidak selesa kerana pengeluaran peluh yang banyak.

Ada pesakit yang mempunyai masalah memegang barang-barang terutama yang dibuat dari kaca.

Di dalam kes yang teruk, baju terpaksa ditukar beberapa kali dalam masa sehari. Peluh yang banyak pada tapak kaki pula akan menimbulkan masalah terutama apabila memakai selipar getah kerana sering tercabut. Penyakit ini juga boleh menjejaskan karier seseorang terutama pada mereka yang sering berinteraksi dan berjabat tangan ataupun mereka menggunakan benda tajam seperti pisau.